Belajar Membuat Coklat Secara Mudah



Sebagai makluman kepada pengunjung-pengunjung blog EasyChocs, tempahan kelas coklat boleh dibuat melalui email (easychoc@gmail.com) atau HP (019-5081786).


Kelas Membuat Coklat yang Mudah

Kelas coklat buatan tangan sesuai untuk individu yang ingin membuat coklat mengikut citrasa sendiri, mudah, sedap, murah dan halal. Pembuatannya hanya memerlukan peralatan sedia ada di rumah. Kemahiran yang diperoleh berpotensi membantu anda memulakan perniagaan dari rumah.

APA YANG AKAN DIPELAJARI:

Pelbagai jenis dan formulasi coklat: COUVERTURE, COMPOUND & MASAKAN

Teknik 'tempering' coklat couverture yang mudah untuk dilakukan di rumah TANPA menggunakan mesin atau bilik yang berhawa dingin. Cara membuat inti coklat "ganache" dan mempelbagaikannya.

Membuat sendiri (hands-on) 6 jenis coklat berasaskan coklat COUVERTURE (2 jenis coklat berkekacang dan 2 jenis coklat berinti ‘ganache’) dan COMPOUND (coklat marble dan coklat berperisa)

Mendapatkan panduan tentang: Permilihan dan penjagaan acuan coklat; Sumber untuk mendapatkan bahan-bahan asas coklat yang halal, murah, berkualiti dan sedap; Menyimpan dan membungkus coklat

JADUAL

Setiap Sabtu (9.30 am - 3.00 pm). Terhad untuk maksima 3 orang setiap kelas. Tarikh boleh dipilih jika mendaftar bersama rakan. Pengesahan kelas perlu dibuat seminggu awal.

KADAR BAYARAN

RM 250 termasuk nota dan bahan-bahan yang digunakan. (Anda akan membawa pulang minimum 50 biji coklat (sila bawa bekas). Bayaran semasa kelas.

LOKASI

186, Jalan Desa Aman S16/8, Taman Desa Aman, 09410 Padang Serai, Kedah.

Pn. Aishah Isnin - Tel: 019-5081786
Map ke rumah saya terdapat dalam Google Maps





Tuesday, August 4, 2009

Kejayaan Pelajar Saya

Kak Hafizah merupakan peserta kelas coklat saya yang pertama (14/3/09). Partner beliau pada hari tersebut adalah Cikgu Hanita (masa tu saya belum mula mengambil gambar, tu yang susah bila nak tulis blog tak ada gambar yang menarik).

Tahniah kepada Kak Hafizah Kassim kerana telah berjaya menjadi usahawan coklat & dalam masa yang sama dapat menbantu pelatih OKU.



ZULKIFLI Ramli (dua dari kanan) memerhatikan Razlena Rosa Zila (kiri) dan rakannya, Rosnidawati Saharudin (dua dari kiri) menghasilkan coklat di Bengkel Daya Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

SUNGAI PETANI 7 Julai - Usaha untuk membolehkan golongan orang kurang upaya (OKU) berdikari dan menyertai masyarakat bukan hanya terletak pada tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi semua pihak termasuk syarikat dan badan perniagaan perlu memainkan peranan masing-masing.

Peranan itu kini dipergiatkan melalui kewujudan pelbagai pusat pemulihan dan latihan pekerjaan untuk golongan istimewa seperti Bengkel Daya Sungai Petani yang terletak di Jalan Pahlawan di sini.

Bengkel tersebut digerakkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda dan lebih 20 sukarelawan membantu melaksanakan program latihan serta pekerjaan untuk memenuhi keperluan setiap pelatihnya.

Pengarah JKM Kedah, Zulkifli Ramli berkata, bengkel itu yang ditubuhkan sejak beberapa tahun lalu berfungsi mengenal pasti, mengembang dan memberi latihan kemahiran kerja kepada pelatih dengan tujuan menyediakan mereka dengan pasaran pekerjaan untuk mencari nafkah.

"Pada masa ini, pusat tersebut boleh menampung lebih 25 pelatih OKU. Sebelum ini, kami berasakan golongan berkenaan sukar untuk berdikari apatah lagi mendapat pekerjaan di luar.

"Bagaimanapun kami kini berusaha memberikan latihan berkaitan agar mereka lebih berkeyakinan apabila berhadapan dengan masyarakat luar," katanya pada majlis ramah mesra JKM bersama masyarakat di sini baru-baru ini.

Hadir sama Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof dan Pegawai JKM Daerah Kuala Muda, Mohamad Md. Noor.

Menurut Zulkifli, selain latihan, Bengkel Daya Sungai Petani turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat untuk mengambil pekerja OKU bagi menghasilkan produk makanan dan pakaian.

"Selain menjalani latihan, para peserta turut memperoleh pendapatan apabila mereka diterima sebagai pekerja untuk menghasilkan produk yang dikeluarkan dalam bengkel ini," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Syarikat Inang Suri Enterprise, Siti Farah Mansor, 28, berkata, pihaknya yang menjalankan kegiatan mengeluarkan produk coklat memberi peluang kepada OKU untuk menjalani latihan di samping bekerja di bengkel tersebut sejak setahun lalu.

Katanya, selain menyahut seruan kerajaan yang memberikan peluang sewajarnya kepada OKU, pihaknya berpendapat langkah berkenaan boleh meningkatkan lagi semangat golongan tersebut untuk hidup bermasyarakat.

"Kami mengambil empat pekerja OKU untuk menghasilkan coklat. Mereka berjaya menunjukkan prestasi cemerlang setanding orang biasa semasa bekerja," katanya.

Beliau berkata, lebih membanggakan, produk yang dihasilkan golongan OKU tersebut berjaya dipasarkan secara meluas di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Sementara itu, seorang pekerja OKU, Razlena Rosa Zilah, 17, berkata, dia amat berterima kasih kepada kerajaan dan juga pihak yang memberikan peluang kepadanya untuk mencari nafkah sendiri.

"Sebelum ini saya sering berasa rendah diri kerana sentiasa berfikir, saya menyusahkan orang lain," ujarnya.

Utusan Online (ARKIB : 08/07/2009)

No comments:

Post a Comment